CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, October 9, 2012

Joget Malaysia - Pelestarian Budaya Melayu

Maafkan ketidaktahuan saya namun saya baru sahaja menyedari bahawa seniman Tan Sri P Ramlee dan seniwati Saloma pernah menyanyikan lagu "Joget Malaysia". Saya amat kagum dengan lagu, lirik dan video ini sewaktu menontoninya.

Saya merasakan bahawa lagu ini (yang berbentuk berbalasan pantun) memberikan pendengar pengenalan yang baik mengenai negeri Malaysia - contohnya ibu negeri, tahun keMerderkaan Malaysia dan sebagainya.

Satu lagi aspek yang menarik perhatian saya ialah usaha video muzik ini untuk memaparkan kepelbagaian kumpulan etnik Malaysia. Penari-penarinya merupakan simbol kepelbagain kumpulan etnik di Malaysia - Cina, India dan Serani. Menukil satu kiasan pantun juga, kepelbagaian kumpulan ethnik juga dapat dilihat:

Anak Bengali ke kebun nyonya
Petiklah gambus anak Melaka

Selain itu, saya juga gemar dengan budaya Melayu yang terpancar jelas di video dan lagu dengan penggunaan pantun dan muzik Melayu serta baju Melayu yang didondon penyanyi-penyanyi utama.

Untuk menonton video YouTube lagu Joget Malaysia anda boleh melungsuri http://www.youtube.com/watch?v=FW1KOiTKc1I. Semoga terhibur!

Lestarikanlah budaya Melayu...

Thursday, February 26, 2009

Sambungan Sinopsis


Gambar dipetik dari lelaman: hamlau.proboards44.com

Hubungan antara Chombi dan Kassim Selamat kini semakin rapat. Suatu hari, tatkala Chombi dan Kassim Selamat sedang berborak sesama sendiri, terdengar alunan muzik saxophone. Menurut Chombi, jirannya itu baru sahaja bermula berjinak-jinak dalam permainan alat muzik saxophone. Beliau menambah lagi bahawa jirannya itu merupakan peminat setia ahli muzik terkenal, Kassim Selamat.

Kassim Selamat meminta bantuan Chombi untuk memanggil jirannya itu. Setelah dipanggil kemari, Kassim Selamat meminta izin daripada jiran Chombi untuk bermain saxophone-nya. Chombi dan jirannya hairan akan permintaan Kassim Selamat. Mungkin kerana mereka tidak menyangka bahwa Kassim Selamat atau Osman Jailani yang buta penghlihatan dapat bermain alat muzik saxophone. Namun, keraguan mereka ternyata meleset. Mereka terpegun tatkala ‘Osman Jailani’ bermain saxophone itu dengan baik sekali, jelas sekali memaparkan pengalamannya dalam permainan alat muzik tersebut. Sempat juga jiran Chombi berbisik dengan Chombi bahawa cara ‘Osman Jailani’ bermain muzik itu amat seiras sekali dengan cara bermain Kassim Selamat.

Setelah selesai bermain, Kassim Selamat dikejutkan pula dengan tepukan Mamak yang terus mengajukan soalan- “Asal tukar nama cek kepada Osman Jailani. Bukankah nama Kassim Selamat ‘tu elok?” Mamak sebenarnya merupakan sahabat Mami dan kebetulan beliau baru hadir di rumah Mami tatkala Kassim Selamat sedang bermain saxophone.

Rahsia Kassim Selamat terbongkar jua. Tatkala mengenali identity Kassim Selamat yang sebenar, Chombi terus memeluk Kassim Selamat, mungkin kerana kegembiraan mengetahui bahawa rakannya, Osman Jailani itu tidak lain tidak bukan, Kassim Selamat, ahli muzik yang beliau minati dan gemari selama ini. Mamak menawarkan Kassim Selamat peluang untuk membuat ‘show’ di seluruh Malaya. Kassim Selamat pada mulanya enggan bersetuju kerana risaukan keadaan Chombi. Namun, setelah Chombi menggalakkannya untuk merantau membuat persembahan, Kassim Selamat setuju dengan tawaran Mamak. Tetapi, dengan syarat agar namanya ditukarkan kepada ‘Osman Jailani’. Mamak gembira dengan persetujuan Kassim Selamat dan tidak menghalang niat Kassim Selamat untuk merahsiakan identitinya.

Kassim Selamat membuat persembahan di seluruh Malaya dari Ipoh ke Penang. Akhirnya, beliau sampai ke Singapura...

Bersambung...

Lestarikanlah budaya Melayu...

Saturday, February 21, 2009

Muzik dan Melayu

Saya rasa terdapat banyak cara di mana bahasa Melayu boleh mengumpulkan minat di kalangan orang-orang muda. Tidak dapat disangkalkan bahawa kebanyakan daripada generasi muda kini tidak kerap menggunakan bahasa Melayu. Dan, walaupun bahasa 'Melayu' dituturkan oleh remaja-remaja, ia sering disisipkan dengan slanga-slanga moden.

Pada pendapat saya, satu cara di mana bahasa Melayu boleh diketengahkan kepada para-para orang muda kini ialah melalui muzik; iaitu menerusi seni kata lagu muzik itu. Sebabnya, generasi-generasi muda ini sememangnya merupakan peminat-peminat muzik.

Sebagai contoh lihatlah lagu 'Lagu Untukmu', dari Meet Uncle Hussein, yang sememangnya popular dikalangan remaja-remaja muda, kerana nada lagunya yang berkonsepkan rock dan kontemporari. Dengan lahirnya muzik-muzik sebegini, diharapkan disamping meminati sesebuah lagu itu, generasi muda ini juga dapat diberikan pengluasan yang lebih terhadap bahasa Melayu dengan penghayatan seni kata lagu-lagu Melayu ini:)

Sebelum mengakhiri entri saya kali ini, saya akan sisipkan lirik 'Lagu Untukmu' buat bacaan umum :D

Lirik lagu Meet Uncle Hussein - Lagu Untukmu

Tiada bintang

Dapat menerangkan hati yang telah dicela
Bagai ku lumpuh tak mampu berdiri
Aku tetap begini takkan berubah kerna

Aku tetap aku dan alur hidup mu bukanlah aku
Guna hati akal dan fikiranku
Berbeza engkau dan juga aku
Dua hati yang tak mungkin bersatu
Adakah aku
Hanya bonekan yang engkau sering mainkan

Yang dikawal oleh jari jarimu
Ku punya hati dan perasaan
Pernahlah engkau fikirkan
Cukuplah cukup oh cukuplah
Guna hati akal dan fikiranmu
Berbeza engkau dan juga aku
Dua hati yang tak mungkin bersatu

Tak tahan tak tahan
Sabarku tak tertahan
Melayan sikapmu perawan

Berbeza berbeza
Kau dan aku berbeza
Kita memang tak serupa

Bebaskan
Ku ingin dilepaskan
Kita tidak sehaluan

Cukuplah sudahlah
Sampai disini sahaja
Hubungan kita berdua


Lestarikanlah budaya Melayu...

Sunday, February 15, 2009

Selamat Menyambut Hari Petahanan Mutlak


Hari ini merupakan Hari Pertahanan Mutlak atau dalam bahasa Inggerisnya Total Defence's Day.:)

Terdapat lima faktor yang perlu kami pertahankan di Singapura. Mereka ialah:
1)Pertahanan militari/ askar
2)Pertahanan Sivil
3)Pertahanan Ekonomi
4)Pertahanan Sosial
5)Pertahanan Ekonomi

Sebagai sebuah negara yang kecil, amat penting untuk kami semua mengumpul segala kekuatan yang ada dan bekerjasama dalam membentuk Singapura sebagai sebuah negara yang aman dan makmur.

Untuk maklumat lanjut, silalah lungsuri lelaman khas Pertahanan Mutlak: http://www.totaldefence.sg (foto di atas diambil dari lelaman ini)

"It's Personal Play Your Part"- "Ia peribadi, mainkanlah peranan anda"

Sila tontoni filem klasik "Sarjan Hassan", amat relevan dengan penyambutan Hari Pertahanan Mutlak. Ambillah intipati cerita sebagai pengajaran :)

Lestarikanlah budaya Melayu...

Sunday, February 8, 2009

Sinopsis filem 'Ibu Mertuaku'


Hari ini saya ingin membincangkan filem 'Ibu Mertuaku', hasil karya P Ramlee.

Sebelum saya mula memberikan pendapat saya dan juga fakta-fakta menarik mengenai filem ini, saya akan merumuskan dahulu sinopsis filem ini bagi memudahkan pemahaman pembaca-pembaca :)

Sinopsis filem*:

Cerita ini mengisahkan cinta antara seorang ahli muzik- Kassim Selamat dan Sabariah. Sabariah berasal daripada keluarga kaya.

Percintaan mereka berdua mendapat tentangan daripada ibu Sabariah- Nyonya Mansoor yang sememangnya benci dengan ahli muzik. Selain daripada itu, Nyonya Mansoor telah berhasrat untuk menjodohkan anaknya dengan Doktor Ismadi.

Setelah Sabariah mengkhabarkan ibunya bahawa dia mencintai Kassim Selamat, ibunya menyuruh dia membuat pilihan samada memilih untuk mengahwini Doktor Ismadi ataupun Kassim Selamat. Tiga hari kemudian, setelah mendapat kepastian dari Kassim Selamat yang berjanji untuk hidup semati dengannya, Sabariah akhirnya memilih Kassim Selamat.

Kassim Selamat kemudiannya menikahi Sabariah di rumah Sabariah. Nyonya Mansoor memberi mereka seikat wang lalu melepaskan pergi Sabariah. Doktor Ismadi merana setelah pernikahan Sabariah dengan Kassim Selamat. Wang yang diberikan Nyonya Mansoor lama-kelamaan menipis. Kassim Selamat dan Sabariah kemudiaanya menjadi miskin.

Pada suatu hari, akibat tidak dapat menahan kehidupannya yang terdesak, Sabariah menulis surat kepada ibunya meminta pertolongan. Nyonya Mansoor melawat Sabariah dan meminta izin daripada Kassim Selamat untuk membawa Sabariah pulang. Beliau menyatakan kesenangan hati beliau kerana Kassim Selamat tidak lagi menceburi bidang muzik.

Pada satu hari, Kassim Selamat menerima telegram yang menyatakan bahawa Sabariah sudah meninggal dunia. Kassim Selamat menerima berita tersebut dengan berat sekali. Beliau menangis setiap hari sehingga tangisannya itu membutakan beliau. Kassim Selamat pun hidup secara melarat setelah diusir dari rumahnya. Hidupnya ibarat musafir.

Nasib baiknya telah menemukan beliau dengan Mummy, seorang insan kaya yang baik dan luhur budi pekertinya. Setelah mendengar cerita sedih Kassim Selamat, Mummy memutuskan untuk mengambil Kassim Selamat sebagai anak angkat. Kassim Selamat bersahabat dengan Chombi, anak Mummy yang juga sedang melalui detik payah kehilangan suami. Namun, Kassim Selamat tidak lagi menggunakan nama 'Kassim Selamat'. Beliau menggelarkan dirinya sebagai Osman Jailani.

Bersambung...

*Sinopsis ini saya tulis berdasarkan pemahaman saya menontoni filem 'Ibu Mertuaku'

Lestarikanlah budaya Melayu...

Wednesday, February 4, 2009

Reviu

Mungkin sudah tiba masanya saya menyambung semula blog saya yang bertemakan Pelestarian Budaya Melayu. Disebabkan kesibukan pelajaran dan aktiviti kegiatan ko-kurikulur, amat susah bagi saya untuk terus menulis blog saya ini. Sememangnya, alam sekolah sungguh sibuk dan memakan banyak jadual masa. Dan, kadang-kala, bagi meredakan stres yang dialami, saya sering menonton televisyen, terutamanya filem-filem komedi ataupun rancangan realiti yang suka menyelitkan humor.

Pada hari Isnin yang lalu, selepas mengulangkaji pelajaran bagi subjek Sejarah, saya menghilangkan stres dengan menonton filem P Ramlee, Ibu Mertuaku. Sememangnya cerita ini amat melodramatik (terutamanya pada bahagian akhir), tetapi bahagian awalnya banyak mempamerkan komedi dan humor. Saya amat menyukai filem ini dan meskipun sudah banyak kali saya menonton filem tersebut, tidak pernah saya dihimpit rasa jemu ataupun bosan.

Entri ini mungkin merupakan introduksi mengenai perkara-perkara yang akan saya tulis di dalam blog ini. Saya amat gemar menonoton filem-filem klasik Melayu, baikpun filem yang berlatarkan suasana kontemporari mahupun filem yang berlatar belakangkan zaman dahulu kala; zaman kesultanan. Oleh itu, ingin saya meluahkan pendapat-pendapat saya mengenai filem-filem ini dan bagaimana filem-filem klasik masih relevan dalam dunia masa kini.

Mungkin juga saya akan memberi sedikit sebanyak maklumat mengenai Allahyarham P Ramlee. Mungkin anda bertanya mengapakah saya ingin menulis mengenainya? Jawapannya ialah saya merupakan salah satu daripada ribuan peminat seniman agung ini. Selain daripada itu, saya juga amat mengagumi bakat Allahyarham P Ramlee sebagai seorang seniman yang versatil.

Insya-allah, inilah yang akan saya ketengahkan dalam lembaran yang akan datang:)

Lestarikanlah budaya Melayu...

Monday, July 21, 2008

Makanan Tradisional Melayu

Sejarah...
Makanan Melayu terkenal kerana rasanya yang pedas dan lauknya yang berempah. Jikalau di perhatikan secara teliti, makanan Melayu banyak dipengaruhi makanan negara-negara jiran seperti India dan China. Pada waktu dahulu, Asia Tenggara didatangi ramai peniaga-peniaga dari negeri India, China dan juga negeri-negeri Arab yang dating dengan tujuan untuk berdagang. Mereka memperkenalkan makanan tradisional mereka dan makanan ini mempengaruhi makanan Melayu sekarang.

Makanan-makanan tradisional yang masih popular... (contoh-contoh)
Ø Lauk Rendang
Lauk berempah yang sering dihidangkan sewaktu perayaan Hari Raya. Boleh dimakan bersama nasi, roti atau ketupat.

Ø Satay
Masih lagi digemari ramai. Bahan-bahan utamanya ialah daging ayam, lembu atau babat. Satay dihidangkan bersama kuah kacang yang berempah dan pedas.

Ø Nasi Ambeng
Makanan campuran- nasi, sambal goreng, urap dan sebagainya

Ø Nasi Lemak
Nasi yang ditanak bersama santan. Dihidangkan bersama sambal telur ataupun ikan bilis.

Makanan-makanan tradisional yang kurang popular… (contoh-contoh)
Ø Nasi Dagang
Merupakan campuran beras pulut dan beras biasa. Setelah ditanak, ia kemudian
dicampur dengan santan. Hidangan ini sentiasa dimakan bersama lauk kari ikan ataupun ulam.

Ø Keropok Lekor
Persis keropok ikan. Tetapi, ia tidak garing – sebaliknya berisi. Meskipun kurang dikenali, makanan ini sudah mula dijual di gerai-gerai bazar.

Ø Sata
Merupakan campuran daging ikan, bawang dan halia. Campuran ini disalut dengan daun pisang dan disangar.

Sebagai orang Melayu, kita haruslah lestarikan makanan tradisional kami dan menyesuaikan diri dengan makanan-makanan kita. Mempunyai makanan tradisional sendiri ialah sesuatu yang harus dibanggakan kerana ia juga mencerminkan keunikan budaya kami sendiri. Semoga makanan-makanan tradisional yang masih popular berkekalan popularitinya dan yang tidak popular pula, harap kita sama-sama 'menghidupkan' kembali makanan-makanan tersebut.


Lestarikanlah budaya Melayu...